Followers

Wednesday, December 22, 2010

Kupasan Rayyan Fantasi

Judul: Rayyan Fantasi
Pengarang: Ramlee Awang Murshid
Penerbit: Alaf 21 Sdn Bhd
Mukasurat: 512 Halaman
Rating: ★★★★☆☆☆☆☆☆  

Novelis Thriller No.1 Malaysia kali ini tampil dengan novel terbaru yang diberi judul 'Rayyan Fantasi'. Aku telah mendapatkan novel ini hanya baru-baru ini dan Alhamdulillah, akhirnya aku usai juga membacanya petang tadi. Selalunya aku mengambil masa yang singkat untuk menghabiskan sesebuah karya novelis kesukaan aku ini, tapi kali ini... entahlah.

     Pada hemat aku, ekperimentasi Ramlee Awang Murshid bagi novel yang ke-20nya ini adalah sangat berani. Tema makhluk asing yang diguna pakai, aku fikir, sangat tidak masuk akal jika hendak dibandingkan dengan novel-novelnya yang sebelum ini contohnya Triolgi Bagaikan Puteri, Hatiku Di Harajuku, Mikhail, Rahsia Perindu dan lain-lain.

     Dalam novel ini terdapat banyak teknologi asing yang diperkenalkan seperti kapsul angkasa yang dapat merentasi angkasa lepas dalam masa yang singkat dan cecair berwarna biru yang berkemampuan menyembuhkan luka hanya dengan sekelip mata. Terdapat juga jagor, sejenis makhluk yang disifatkan berkepala singa, berbadan menyerupai kerbau dan mempunyai gigi-gigi tajam seperti buaya. Beberapa watak pula disifatkan memiliki kuasa menyembuhkan penyakit dan mengubah warna mata mereka dengan mudah. Panggilan yang digunakan dalam menamakan makhluk-makhluk asing juga sangat... pelik. Mij-Gillion, Rayyan, Mika, Yuk'kaa, Na'in. Pada pendapat aku, penulis menggambarkan mereka tidak ubah seperti dewa. Idea-idea yang terlampau imaginatif seperti ini membuatkan pembaca seperti aku terkapai-kapai sepanjang pembacaan aku ini.... sungguh mengarut!

     Keintiman watak Aiddin dan Feena tampak janggal dalam novel ini. Konflik cinta tiga segi antara mereka berdua dan watak Zaidan menghadapi kesudahan yang aku rasa agak tergantung! Aku tidak berpuas hati. Langsung. Selain tidak berpuas hati, aku juga berasa sangat keliru. Otakku bejat. Banyak benar persoalan yang tidak terjawab setelah tamat pembacaanku...

     Dan kenapa pula makhluk asing boleh berbahasa Melayu?

    Tuntasnya, Rayyan Fantasi bukanlah novel paling teruk karya Ramlee Awang Murshid, tetapi dapat aku katakan yang novel ini bukanlah yang terbaik... Terdapat bermacam-macam kelemahan dalam novel ini sehingga menghilangkan minat aku untuk meneruskan pembacaan aku. Aku sangat mengagumi Ramlee Awang Murshid kerana karya-karyanya sebelum ini sungguh mengagumkan. Aku benar-benar mengharapkan agar novelnya yang bakal diterbitkan selepas ini jauh lebih berkualiti daripada yang ini...

oleh Fikri Fadzil

1 comments:

Amelia said...

cter ni nampak sangat2 bez.. tp thriller! it's gonna take a lot of time untuk aku bc the whole story.. haha~